Demi Cinta

On 2 May, 2012, in Penyusuan Ibu, by admin

Berselipar pink berpayung kuning, seorang ibu berjalan kaki pada jam 1230 tengahari ke taska anaknya, menghantar 3 oz susu ibu buat bekal anak untuk petang pula. 20 minit pergi 30 minit balik (sebab singgah kedai beli milo ais :D ).

Segalanya DEMI CINTA.

Mencatatnya sebagai kenangan, jerih payah perjuangan menyusukan anak. Semoga setiap langkah kaki dan peluh yang menitis atas nilaian pahala.

Ya Allah, kuatkan semangatku, limpahkan rezeki buat anakanda Nur Afiqah untuk terus menikmati susu terbaik di dunia ini. Amin,

 

‘Jalan’ Ke Taman Nan Indah

On 25 April, 2012, in Diri, Makanan Jiwa, by admin

“Kakakkk!!!!!…” Terdengar lantang suara suami dari ruang tamu.

Saya yang sedang makan malam di dapur bingkas bangun. Nur Afiqah sudah terlentang di atas lantai. Terjatuh dari kerusi. Tangisannya nyaring. Wajahnya pucat. Suami cepat-cepat mengangkatnya.

Saya cemas, lalu diambil Nur Afiqah dari dukungan suami.

“Allah…allah…allahumma solli ‘ala Muhammad..”. Bibir saya tidak henti berzikir sambil mengusap kepalanya. Dia nampak letih. Saya lantas menyusukannya, dan dalam masa beberapa saat sahaja matanya layu, seolah mahu tidur.

Hati saya masih cemas. Bimbang itu bukan petanda dia mengantuk, tapi tanda bahaya yang lain akibat kepala terhentak atas lantai.

Saya menahan diri dari memarahi si kakak Nur Aqilah. Sudah beberapa kali ‘gaya’ dia bermain dengan adik agak kasar. Kali ini, ditolaknya adik dari atas kerusi. Saya positifkan diri, dia juga masih kecil. Akalnya masih belum dapat membezakan yang mana baik dan buruk.

Namun, mulut ibu ini ingin juga memberi nasihat.

” Kakak, jangan lah buat macam tu lagi kat adik..adik kecik lagi…” Suara saya bergetar.

” Kalau apa-apa jadi pada adik…………….” Saya tidak mampu menghabiskan ayat. Airmata merembes laju. Akhirnya hati ibu ini tidak mampu menahan tangis.

Suami memandang tanpa menutur sebutir bicara pun. Dia tahu saya bagaimana. Terlalu ‘over protective’ terhadap anak. Si kakak Aqilah diam membungkam. Riak wajahnya sedih. Dia rasa dimarahi barangkali.

Saya terus menyusukan Nur Afiqah. Sambil menyeka airmata yang mengalir, ingatan berputar pada kisah anakanda Nur Fatimah, puteri pertama sahabat akrab Khadijah dan Ustaz Ramadhan yang dijemput Allah swt pada usianya 3 bulan 18 hari, kerana berlaku gegaran pada otak (shaken baby syndrome).

Jujur saya katakan, ‘insiden’ Nur Fatimah lewat 3 tahun ini benar-benar membuatkan saya kadangkala terlalu cemas jika berlaku apa-apa pada anak.  Melihat Nur Aqilah yang makin membesar, hati saya pasti akan terkenangkan Nur Fatimah. Andai dia masih ada, dia juga seperti Nur Aqilah. Petah bercakap, menghiburkan ibubapanya.

Astaghfirullah. Tidak elok berandai-andai. Itu sudah ketentuan takdir.

Anak-anak, adalah harta yang paling disayangi oleh ibubapa. Tidak kira walau bagaimanapun keadaan anak tersebut. Jika saya sudah merasa begitu, ibubapa yang diuji dengan kehilangan anak itu tentu lebih-lebih lagi trauma dan cemasnya. Selepas pemergian Nur Fatimah, beberapa kisah sahabat terdekat yang juga kehilangan anak singgah ditelinga. Saya masih tetap cemas.

Entah bagaimana, jika saya sendiri diuji begitu. Allah..tidak terucap dengan kata-kata.

Dan semalam, sekali lagi emosi saya bergoncang hebat bila diberitakan anakanda sahabat akrab Siti Syazwani juga telah dijemput Allah s.w.t sebelum sempat menjengah dunia. Allah…..

Hanya itu yang terlafaz dibibir saya. Tidak terucap dengan kata-kata.

Baru beberapa hari sebelum ini, kami berhubung di Facebook. Saya doakan selamat buatnya yang sedang  menanti kelahiran cahayamata pertama.

23 April 2012, ulangtahun perkahwinan pertamanya.

23 April 2012 juga, puterinya itu dijemput Allah swt di alam rahim, sebelum sempat menghirup udara dunia. Dan dia di ‘induce’ untuk ‘melahirkan’ anaknya itu, bertarung kesakitan sepertimana ibu-ibu lain pada kebiasaannya untuk bersalin.

Melalui Khadijah, saya mengetahui kisah disebaliknya.

Sahabat tabah saya itu, sudah dimaklumkan doktor bahawa bayinya itu bermasalah sejak usia 7 bulan dalam kandungan lagi. Peluangnya untuk hidup tipis dan sahabat tabah itu sudah bersedia dari awal lagi.

Allahu rabbi. Dan pagi tadi saya menghubunginya, mendengar ceritanya bagaimana perjuangannya melahirkan anak yang sudah tidak bernyawa dengan begitu susah payah.

Sepanjang kami bersahabat lewat 10 tahun, saya mengenalinya sebagai seorang yang kuat semangat. Satu demi satu ujian besar mendatanginya, ada yang kami kongsi bersama, dan ada yang hanya mampu saya lihat dari kejauhan. Dan kini dia diuji lagi.

Kadangkala, saya ‘cemburu’ melihat ujian yang ditempuhnya. Memang perit dan pedih, namun itulah ‘jalan’ yang telah ditempuhnya untuk mendapat tempat di Syurga Allah swt.

Ujian itu mengangkat darjat mereka yang sabar.

Menebarkan pahala yang melimpah ruah.

Namun saya terfikir, andai saya ditempatnya, mampukah saya menempuhnya sesabar itu?

Allah. Engkau berikan ujian hanya pada mereka yang layak dan sanggup.

Lewat usia dewasa ini, satu persatu kisah hidup dan perjalanan manusia lain dibentangkan di depan mata ini. Ada kisah bahagia, ada kisah derita. Itulah ‘jalan-jalan’ yang perlu ditempuh oleh kita menuju ke taman nan indah..syurga Allah swt. Syurga itu terlalu mahal harganya.

Melihat teman-teman yang diuji dengan kematian suami, isteri, anak-anak, kaum keluarga..ujian-ujian lain juga yang tidak kurang ‘hebat’nya, lalu mereka itu terus bersabar..saya merasakan seolah-olah ‘inilah calon ahli syurga.’

Para Nabi dan Rasul juga telah hebat diuji.

Para sahabat juga begitu.

Ujian hidup di tempuh dengan sabar dan redha kerana itulah syarat menguji iman.

Dan kita ini, terlihat tenang sahaja tanpa ribut kehidupan. Pesan saya pada diri, bila mana tidak diuji, usahlah merasa ‘steady’ dan selamat. Kerana bila tidak diuji, bimbang berat dan sukar pula langkah untuk ke Syurga nanti. Bimbang banyak pula persoalan yang perlukan jawapan di perhitungan Mahsyar kelak. Bimbang kaki tidak mampu berjalan pantas saat meniti titian sirat..dek kerana banyaknya pertanggungjawaban ketika di dunia yang tidak dilunaskan dengan baik. :-(

Ya Allah, kami pohon padaMU, andai ada ujian di depan sana, pinta kami padaMU, bukan dikecilkan ujian yang bertandang, namun besarkanlah hati kami untuk menghadapinya dengan iman.

Buat sahabatku dunia dan akhirat yang kini sedang diuji..

” Wani, saya tahu awak kuat. Dan Allah swt memang terlebih tahu. Berteguhlah sahabat, walaupun mengatakan mudah berbanding awak yang menanggung. Dan, pastinya indah bila membayangkan..puteri comel itu sedang riang di taman syurga, bertemu kekandanya Nur Fatimah..dan mereka yang pergi terlebih dahulu..awak dan suami sudah ada seseorang yang menanti kalian di Syurga. Berbahagialah sahabat..”

Al- Fatihah.

 

 

Sudah sebulan saya melalui denai-denai sukar dalam episod penyusuan susu ibu buat anakanda Nur Afiqah.

Hasil perahan harian selalu defisit.

Sesi pertama 4 oz

Sesi kedua 2 oz

Sesi ketiga saya tidak berkesempatan melakukannya. Ada kelas.

Pulang ke rumah, mengurus rumahtangga, dalam hati saya tahu saya masih ada ‘hutang’ 3 oz lagi untuk bekal susu Afiqah ke taska keesokan harinya.

Tidur malam pun tidak lena. Asyik terjaga fikirkan susu yang masih belum cukup. Memaksa diri untuk bangun, memerah lagi untuk mendapatkan 3 0z.

Begitulah keadaan saya berminggu-minggu.

Letih. Namun melihat senyumannya, petah mulutnya berkata-kata, buat saya mahu tersenyum. Biar apa jua ribut kehidupan melanda.

Saya suka kira giginya ketika menyusu, buat semakan kalau-kalau ada gigi baru tumbuh. :-)

Suka usap dahi jendulnya.

Suka dengan bau masamnya.

Suka pegang jari jemari kecilnya.

Suka tanya dia mana mata dan tangan :-) (Anggota lain dia belum kenal lagi :D )

Ia cukup untuk melegakan tekanan saya selepas penat bekerja. Benar-benar penawar semulajadi.

Itu jawapan saya bila ditanya kenapa saya menyusukan. Bukan semata-mata kerana khasiat, tetapi penyusuan susu ibu lebih daripada itu!

 

Ingin sekali saya katakan padanya, ibu sanggup bersengkang mata, letih, penat, tidak cukup rehat, asalkan dapat terus menunaikan hakmu untuk menyusu sehingga usia 2 tahun. Meskipun perjuangan buat si kakak Aqilah hanya sempat 10 bulan 2 hari, saya menerima itu sebagai ketentuan Allah swt setelah berusaha sewajarnya.

Jika anak pertama dulu, saya selalu stress dan sedih apabila dilanda masalah ketika penyusuan, kali ini saya mahu lebih tenang.

Suami memahami gundah gulana perasaan saya meskipun saya jarang bersungut. Hanya sesekali memberitahu suami: “Abang kejutkan ayang malam nanti ye, nak perah susu. Tak cukup lagi..”

Dia belikan buku “Succeed to Breastfeeding” di Karnival Buku Pahang tempohari. Dia muhasabah saya kenapa susu kurang – sebab malas mengepam. Pedas dan pedih :D

Saya belum baca betul-betul. Hanya membelek. :-)

Buku-buku lain yang saya pilih untuk bacaan diri sendiri. :-)

Saya tidak mahu bercerita tentang masalah. Masalah hanya buat aura kita jadi negatif. Saya hanya mahu bercerita, bahawa saya punya azam, mahu penuhkan deep freezer di rumah dengan stok EBM semula. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. :-) . Namun azam itu takkan terlaksana tanpa perancangan dan perancangan takkan berjaya tanpa disiplin.

Saya duduk sejenak dan berfikir. Inilah pelan tindakan yang sedang saya lakukan:

1. Strukturkan kembali jadual memerah di pejabat.

Saya buat nota kecil dan tampal di cubicle di pejabat. Buat peringatan.

2. Cuba patuh dengan jadual tersebut. Setakat ini masih belum berjaya sepenuhnya disebabkan kekangan kelas. Saya harap cuti semester yang akan bermula 2 minggu lagi akan bagi saya ruang untuk ini. :-)

3. Kerapkan direct-feeding ketika bersama Afiqah. Masalah saya sekarang ialah Afiqah sudah 15 bulan, dia sangat suka bermain dan tidak mahu menyusu lama-lama. Bimbang terlepas aktiviti menarik ayah dan kakaknya :D .

4. Memerah di waktu malam kerana hormon prolaktin tinggi. Saya ingin cuba walaupun tak janji berjaya :D . Saya jadikan semangat saya sambung master untuk saya kurangkan tidur, dan gunakan waktu malam untuk buat tugasan secara lebih berkualiti. Seronok juga sesekali jadi orang yang bersengkang mata ni kan?

5. Memerah juga di hujung minggu / cuti.

Itu sahaja. Saya mahu berusaha, selebihnya..LEAVE IT TO ALLAH :-)

Rabbi yassir wala tu’assir ya karim.

 

 

Andai Dia Pergi Dulu Sebelum Mu

On 21 March, 2012, in Makanan Jiwa, by admin


” Macam mana la kalau abang tiba-tiba meninggal nanti…”. Ujar suami saat sejadah sudah terhampar untuk kami solat maghrib berjemaah. Wajahnya serius. Matanya merenung tepat pada wajah saya. Membayangkan bahawa dia benar-benar maksudkan.

Saya terkedu. Airmata bergenang,  lalu menitis laju membasahi pipi. Hati sebak, terasa dada begitu berat. Suami mengangkat takbir. Solat dimulakan. Cuba untuk khusyuk dan menghayati alunan ayat suci al-quran yang dibaca suami. Air mata masih laju.

Usai solat, saya termenung sendiri. Merenung kata-kata suami. Dia sering menyebut sebegitu apabila saya kelihatan terlalu bergantung padanya.

Acapkali.

Dia tidak memanjakan saya. Malah, dia sering ‘melatih’ saya secara tidak langsung agar berdikari. Ada masalah, cuba selesaikan sendiri. Ingin ke mana-mana, dia berikan kunci kereta supaya saya memandu sendiri. Dia jarang membelai hati saya dengan maksud memanjakan. Dia mengizinkan saya untuk buat keputusan-keputusan besar dalam hidup.

Didikannya itu mungkin dilihat tidak romantis. Awalnya dulu tidak difahami saya sebagai isteri. Hati sering tertanya sendiri, bukankah perlu seorang isteri bergantung pada suami?

Namun, lewat tazkirah sambil lalunya, mahupun kata-kata seperti malam tadi, saya memahami bahawa dia mahu saya kuat dan tabah menjalani hidup  tanpanya. Andai itulah ketentuan takdir. Kita hanya perlu bersedia.

Entah siapa yang pergi dulu, mungkin saya, mungkin dia, mungkin anak-anak. Itu semua kerja Tuhan.

Dia sering bercerita, tentang ibu mertua yang cekal semangatnya. Kehilangan suami tercinta secara tiba-tiba. Di saat anak-anak 9 orang masih kecil dan ada yang baru menginjak usia dewasa. Dia khabarkan pada saya, betapa mak gigih bekerja di kedai keropok, kerja ladang, daripada tidak tahu membawa motosikal dan kini boleh melakukannya, membesarkan anak-anak dengan dihimpit kemiskinan.

Cerita suami bukan omongan kosong. Lewat usia perkahwinan mencecah usia tahun ke 4 ini, saya melihat sendiri betapa cekalnya ibu mertua, dia sentiasa tersenyum walaupun ribut kehidupan melanda. Cakapnya tidak pernah meninggi suara. Lembut dan penuh kasih sayang.

Suamiku,

Terima kasih atas peringatan ini. Sayang dan cinta tidak bererti boleh memiliki. Kerana kita semuanya adalah milik Allah swt.

Samada siapa yang ditinggalkan atau meninggalkan, kedua-duanya tentu perit. Yang ditinggalkan perit menongkah arus hidup, yang meninggalkan perit menempuh alam barzakh, sesuai dengan tahap amalan.

Namun, selagi masih bernafas di muka bumi Tuhan ini, diri ini masih mahu terus menabur bakti buatmu insan yang paling dikasihi. Buat anak-anak penawar hati.

Kerana, tiada cinta lain yang mengisi hati ini selepas Allah swt dan RasulNYA.

ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU

(USTAZ PAHROL MD JUOI – www.genta-rasa.com)

Andai dia pergi dulu sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu, lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?

Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun,  aku  tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir selamanya..

Andai dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang ditinggalkan suami!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah… diadukan kesedihan kepada Allah.

Andai dia pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah.   Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.

 

 

Kerana, Langkah Itu Jauh

On 12 March, 2012, in Diri, by admin

Kala ini, saya menginsafi betapa benarnya kata-kata As-Syahid Imam Hassan Al-Banna:

” Al-waajibaat aktharu minal awqaat ”

Kewajipan itu lebih banyak daripada masa yang kita ada.

Masa itu sifatnya relatif. Ada orang punya banyak masa, namun tiada apa-apa yang dibuat sebagai hasil. Ada orang pula masanya amat sedikit, namun banyak sumbangannya buat ummah.

Setiap manusia Allah s.w.t kurniakan 24 jam yang sama. Namun banyak atau sedikit itu bergantung kepada situasi masing-masing yang berbeza.

Saya merasakan masa yang saya ada tidak cukup. Namun malu pula untuk menulis di Facebook (sebagai contoh) mengatakan bahawa saya sibuk. Berbanding ustaz ustazah yang saya kagumi, sebagai contoh Dr. Zaharuddin, Dr. Zahazan, Ustaz Hasrizal, Prof. Dr. Muhaya dan ramai lagi, mereka ke sana sini dengan berceramah, program, seminar, bekerja lagi..seolah-olah masa 24 jam mereka penuh. Namun tiba-tiba sahaja ada buah tangan berbentuk buku baru yang diterbitkan. Mereka sibuk namun ada masa.

Dari situlah saya bermuhasabah diri soal keberkatan masa. Masa juga umpama rezeki, biar sedikit tapi cukup. Mereka yang sibuk berjuang untuk agama punyai sedikit masa untuk diri sendiri, namun mereka banyak masa untuk agama. Kita…peruntukkan banyak masa untuk diri sendiri, sedikit sangat untuk agama, untuk Allah s.w.t. Namun, sering mengeluh tidak cukup masa.

Sungguh indah muhasabah ini. Buat menjentik hati yang sudah lama dibiarkan tanpa baja rohani. Sedikit cerita selama saya sunyi dari blog.

Saya baru sahaja beransur sembuh daripada sakit telinga. Selepas sakit bersalin, sakit tonsil, sakit gigi inilah sakit ke-4 yang saya rasakan sungguh sakit.  Semoga ada dosa yang terhapus asbab penyakit ini. Asalkan saya mahu terus bersabar. Terima kasih pada suami yang kasihnya tidak goyah saat saya sakit. Dia mengemas rumah tanpa banyak bicara. Dapur tidak berasap, dia makan apa yang ada. Anak-anak cuba menganggu ibu yang berehat, dia alih perhatian mereka dengan aktiviti main kuda. Dan anak-anak sungguh seronok! :-)

Hujung minggu yang lepas, saya diminta oleh Puan Mardina, Ketua Jiranita Bandar Damansara Kuantan, tempat permukiman saya untuk saya menyampaikan tazkirah dalam majlis bacaan yasin jiranita. Dengan rendah diri saya menerima taklifan itu, bukan mahu mencari tasyrifan (kemasyhuran), namun mengharapkan agar ia menjadi titik tolak buat saya kembali ke lapangan ummah. Saya seronok bersama jiranita daripada pelbagai peringkat usia. Terkenang pengalaman mengikut emak ke usrah – masih dalam memori akan zaman awal remaja saya. Meskipun terasa penyampaian seolah ada kurang, namun saya menganggap itu ada pengalaman. Ianya mahal.

Juga sudah beberapa minggu kebelakangan ini dapur rumah ‘sibuk’ dengan tempahan coklat dan kek berderet. Sungguh menguji. Lewat status saya di Facebook, ramai teman meninggalkan komen. Kata mereka saya seorang yang kuat. Saya membaca komen itu dengan perasaan yang tawar. Tawar kerana disebalik apa yang saya dapat, saya rasakan ada sesuatu yang hilang. Saya terasa hilang masa berkualiti bersama suami dan anak-anak. Awalnya saya tidak tersedar, namun sehinggalah Aqilah anakanda pertama buat perangai. Di kala saya gigih mendeko kek, dicalitnya kek yang sudah dideko. Aduh! Terasa ibu ini mahu jadi singa. Sambil beristighfar, tangan menepuk meja. Mengelak dari memukul anak. Namun Allah mengilhamkan pada saya, itu tanda anak dahagakan perhatian. Saya perlu mengatur masa membuat kek, tidak mahu anak beranggapan bahawa kek dan coklat lebih penting daripada mereka! Membuat bisnes kecil-kecilan untuk homemade coklat, kek dan cupcake. – Ianya benar-benar mencuri masa rehat saya dan suami, juga mencuri masa bersama anak-anak saatnya tempahan yang diterima banyak. :-(

Begitulah, kuatnya saya pada pandangan orang, namun suami sendiri tahu betapa jatuh bangun saya dalam perjalanan panjang kehidupan ini.

Kadang-kadang, terasa tangan ini penuh dengan pelbagai perkara.

Tugas sebagai pensyarah – tidak hanya mengajar, pelbagai lagi tugasan pentadbiran juga penglibatan dengan aktiviti di kolej.

Bakal mendaftar untuk pengajian Sarjana di UKM minggu hadapan.

Mengurus rumahtangga tanpa bibik – mereka yang punyai anak-anak kecil tentu memahami situasi ini. :-)

Tugasan sebagai setiausaha Persatuan Susu Ibu Negeri Terengganu (PERSINT). Saya masih belum siapkan minit mesyuarat dan menggerakkan enjin SGM kami bagi tahun ini.

Tugasan sebagai Pembimbing Ibu Menyusu bagi zon Pantai Timur. Membantu ibu-ibu menyusu lewat pertanyaan melalui SMS, Facebook, blog mahupun dalam siri pertemuan kami di SGM.

Perjalanan penyusuan susu ibu anakanda kedua juga sedang melalui denai-denai sukar. Sudah beberapa minggu hasil perahan susu defisit. Stok juga sudah zero dalam peti beku. Saya bekalkan apa yang ada buatnya ke taska. Moga cukup sahaja buatnya. Kerap juga akhir-akhir ini saya bangun di tengah malam, memerah lagi meskipun hasilnya barang 1-2 oz buat menampung keperluan Afiqah. Ia memang memenatkan.

Masa 24 jam memang terasa berlalu begitu sahaja. Cepatnya masa beredar, baru sahaja Isnin, tup-tup sudah Jumaat. Ya Allah, dunia akhir zaman.

Dalam kesibukan itu, saya merenung dalam diri. Sibuk saya itu bukanlan apa-apa. Saya malu mengaku sibuk, kerana masa 24 jam itu tidak diperuntukkan untuk menolong jamaah untuk ke sana sini – bermesyuarat, berprogram dan sebagainya. Sibuk dan penat saya hanyalah dalam diari seorang isteri, ibu, pekerja. Itu sahaja. Di lapangan ummah, saya bukanlah sesiapa. Terasa kantung amalan sangat sedikit isinya. :-( . Sebab itulah saya mengambil ruang di Facebook untuk menyebarkan kebaikan andai ada yang beroleh manfaat. Berdakwah dengan ruang yang kita ada. Moga-moga, di perhitungan mahsyar nanti, andai disoal apakah yang saya telah lakukan untuk membantu agama Allah, ada jawapan untuk saya berkata-kata.

Jauh di sudut hati, saya juga selalu termenung sendiri seusai solat. Bagaimanakah prestasi ibadah saya – amalan saya sebagai seorang hamba Allah s.w.t? Adakah sibuk saya mengurangkan masa saya untuk solat di awal waktu? Solat dengan khusyuk? Tadabbur bacaan al-Qur’an? Menambah ilmu-ilmu agama? Menghafal surah-surah? Aduh…malu rasanya untuk mengaku sibuk. Selalu sahaja saya cemburu pada suami tentang perkara yang satu ini, istiqamahnya untuk solat di awal waktu – tidak pernah berubah sejak hari pertama kami bergelar suami isteri. Saya? Sering sahaja solat di hujung waktu. :-( . Rugilah saya, atas kurniaan Allah s.w.t mendapat suami sepertinya, namun saya tidak berupaya mencontohi akhlak baik yang ada padanya. Bukankah perkahwinan itu saling melengkapi, saling memperbaiki?

Ya Allah s.w.t. Kurniakanlah hambaMu ini keberkatan masa. Agar setiap detik hidup dalam amalan jua.

Pesan saya pada diri dalam perjalanan ketabahan ini:

HANYA ORANG SIBUK SAHAJA ADA MASA!

Saya perlu lebih berpengurusan dan berdisiplin dengan masa. Tewaskan penat. Semoga, saya terus kuat melangkah..Master bakal diburu. Rumahtangga juga tidak mahu keciciran. Agama sentiasa dijunjung. Hati ini perlu sentiasa dibajai dengan penguat jiwa -Solat, zikir, al-quran, ilmu..di sirami dengan penghayatan. Dan buahnya pada amalan.

Kerana, LANGKAH ITU JAUH.

 

Cita-cita dan Cinta

On 6 March, 2012, in Diri, by admin

Ia impian yang sudah lama terpendam.

Bila Allah s.w.t membuka jalannya buat saya, dengan usaha saya yang sangat minima, terasa diri begitu disayang Allah.

Dulu, ketika di kampus, saya sering berangan-angan. Ingin jadi Prof. Dr. Najibah Mustaffa. Ingin jadi insan mulia dan terhormat kerana ilmu.

Ia cita-cita yang hadir kerana cinta saya pada ilmu.

Saya suka membaca, berdiskusi, menganalisis dan menulis.

Impian itu berlalu hari demi hari. Entah bila akan dilunaskan hasrat ayahanda agar saya sambung belajar.

2012 saya meletak target pada diri. Bukan tambah anak, tapi tambah ilmu.:D

Target yang disertai dengan sedikit usaha dan banyak yang Allah s.w.t mudahkan.

Akhirnya, pada Jumaat 24 Februari 2012, saya mendapat khabar gembira. Bahagia yang menyelinap seluruh ruang rasa. Sudah lama tidak rasa gembira sebegini.

Permohonan saya melanjutkan pengajian Sarjana di UKM telah diluluskan. Syukur!! Suami adalah insan pertama yang saya sampaikan berita gembira itu. Kemudian ibu bapa di kampung.

Dalam debar saya mengharap, meskipun terasa proposal kajian itu banyak lompongnya, sementelah diberitahu bahawa tapisan UKM agak ketat bagi kursus syariah. Saya berserah sahaja. Namun Allah swt memudahkan.

Alhamdulillah, thumma alhamdulillah.

24 Mac 2012 ini insyaallah akan mendaftar sebagai pelajar Sarjana.

Ada banyak perkara berselirat dalam kepala.

Soal yurannya.

Soal masanya.

Soal komitmennya.

Namun saya percaya, semua itu dapat saya harungi dengan bantuan Allah s.w.t. Tetaplah dengan amalan yang ahsan, Pertolongan Allah pasti bersama. Insyaallah.

Doakan saya. Seorang ibu beranak dua – sudah 30 tahun, dan baru mahu sambung belajar. Masih belum tua kan? :-)

 

1 Tahun, 1 Bulan, 1 Minggu

On 22 February, 2012, in Penyusuan Ibu, by admin

Kita ini hanya di taraf HAMBA. Setiap inci kehidupan kita bergantung harap sepenuhnya pada Allah s.w.t. Tiada sesuatu pun yang berlaku tanpa izin daripadaNYA. Hatta ingin mengelipkan mata pun dengan izin Allah s.w.t jua.

Begitu juga dengan susu ibu yang mengalir dalam badan kita. Setitis pun tidak mampu terhasil, apatah lagi untuk disalurkan kepada anakanda tercinta, melainkan dengan rahmat dan kasih-sayang Allah s.w.t jua.

Bersyukur itu amat penting lambang kita ini tidak lupa bahawa setiap apa yang kita dapat adalah dengan keizinan Allah s.w.t. Usah kerana obses dengan produk tertentu, kita terucap kata-kata sebegini:

” Sejak guna supplemen xxx, susu saya bertambah banyak dan boleh buat stok dengan jayanya..”

Supplemen itu hanya usaha, ikhtiar dan asbab. Ia menyumbang kepada kejayaan penyusuan namun ‘end result’ tetap datang daripada Allah s.w.t.

Hari ini, usia anakanda Nur Afiqah 111 (1 tahun, 1 bulan, 1 minggu). Cantiknya tarikh.  Dan, hari ini juga secara rasminya stok susu perahan sudah zero dalam peti beku. Bermula lah era perah hari ini untuk esok buat saya.

Jauh di sudut hati, risau tetap ada. Namun di buang jauh-jauh agar stress tidak menjengah.

Saya tidak mahu menyalahkan diri sendiri mengapa ini terjadi. Ibu, berhentilah menyalahkan diri sendiri andai diuji dalam perjalanan panjang menyusukan anak ini. Ia, sebab seorang ibu hakikatnya mahu segala yang terbaik buat anak bukan? Namun kadangkala ikhtiarnya tidak berpanjangan, kerana dia juga seorang insan biasa, yang ada waktu letihnya, lemahnya.

Saya juga begitu.

Saya akui saya tidak begitu konsisten memerah di pejabat. Malahan di rumah langsung tidak memerah. Bukan saya tidak faham konsep-konsep asas penyusuan:

Pengosongan breast, supply and demand, waktu malam hormon prolaktinnya tingga, more demand more supply dan macam-macam lagi.

Namun saya acapkali letih.

Keluar rumah seawal jam 6.40 pagi untuk ke tempat kerja.

Jadual kelas yang agak padat semester ini, tercungap-cungap menyediakan persediaan mengajar untuk 4 subjek (5 kelas).

Dengan tugasan pentadbiran yang lain.

Waktu kuliah yang tidak mesra dengan jadual pemerahan saya. Ada kelas jam 1.30 tengahari, ada kelas direct pagi sehingga petang.

Pulangnya jam 5.30 petang, 6.00 petang baru sampai rumah. Letak beg, terus mengemas rumah, memasak, basuh kain dan menyelesaikan apa jua urusan rumahtangga yang belum selesai.

Usai Maghrib, menyuapkan anak-anak makan, buat coklat dan kek yang tempahannya hampir setiap malam.

Sambil-sambil melayan karenah anak.

Tanpa bibik, seorang ibu memang buat kerja tanpa henti.

Tidur malam jam 11-12, kadangkala terlajak juga sampai jam 2-3 pagi jika tempahannya banyak.

Baru mahu melelap mata, anak ke2 sudah terjaga mahu menyusu. Sekejap lagi anak pertama pula merengek mahukan tangan ibu sentiasa ada di badannya.

Sudahnya, ibu ini tidur-tidur ayam. Jam 5.30 pagi, bangun menyediakan bekal ke tempat kerja pula.

Begitulah rutin harian. Ibu-ibu lain mungkin lagi padat jadualnya berbanding saya.

Namun itulah saya, kepenatan membuatkan saya ‘relaks-relaks’ sahaja dalam penyusuan. Bukan bermakna saya tidak kuat semangat untuk terus berjuang sehingga usia anakanda 2 tahun, tidak sama sekali. Malah itulah azam yang tidak pernah berubah dulu hingga kini.

Cuma, saya mahu bertenang sahaja. Tidak mahu memaksa diri.

Kerana, tangan saya ini bukan hanya untuk anak yang seorang. Tangan ini untuk suami, untuk 2 anak, untuk bekerja, untuk buat kek :D , untuk urus rumah, untuk terus berbakti kepada kedua orang tua dan ibu mertua, untuk jadi adik beradik yang disenangi dan segala ‘untuk’ yang tidak terucap. Dan yang paling utama, untuk meningkatkan kualiti diri sebagai seorang hamba Allah s.w.t

Tenang-tenang sahaja ye ibu. Insyaallah, selagi azam masih teguh, insyaallah Nur Afiqah akan masih terus menyusu dengan susu gred emas. Bi iznillah!

 

 

Assalamualaikum wb.t

Catatan ringkas di waktu rehat tengahari.

Alhamdulillah, Sabtu lepas (18/2/2012) saya berpeluang menghadiri Annual General Meeting (AGM) bagi Persatuan Susu Ibu Negeri Terengganu (PERSINT) di Kuala Terengganu. Alang-alang balik ke kampung pada hujung minggu tersebut.

Sesi lepas, saya dilantik sebagai AJK Kawasan Marang. Namun saya tidak buat apa-apa aktiviti pun. Sebab faktor lokasi menyukarkan saya. Saya beritahu suami, AGM kali ini saya nak tarik diri daripada AJK, sebab saya tak mampu menyumbang apa-apa.

Namun, terlantik sebagai Setiausaha pula untuk sesi 2012 ini. Aduh! Saya beritahu suami lagi, dia senyum sahaja. Katanya: “mesti cakap banyak dalam meeting, sebab tu orang lantik..”. :-)

Saya memang suka bercakap, bagi pandangan. Kerjaya sebagai pensyarah memberi saya nilai tambah sebagai “orang suka bercakap banyak”. :-)

Saya terima amanah ini dengan hati terbuka. Cuba laksanakan sebaik mungkin. Membantu lebih ramai ibu-ibu lain untuk menyusukan anak dengan susu ibu.

Berita baik: Mac 2012 akan diadakan kursus penyusuan 20 jam bagi AJK PERSINT (dipelawa oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu). Dan ianya PERCUMA! Kursus selama 3 hari, dan selepas selesai 20 jam, akan ada kursus 40 jam pula untuk membolehkan seseorang itu mendapat tauliah sebagai Kaunselor Laktasi. Ianya antara cita-cita saya dalam hati.

Andai ada rezeki saya menyertainya, alhamdulillah. Suami OK sahaja, cuma memikirkan bagaimana mahu ke tempat kursus di Kemaman sementelah kami kini hanya berkereta satu. Kursus pula diadakan pada waktu bekerja. [Nantilah fikir..:D].

Sekian, catatan ringkas di tengahari. :D

Nota Hati Ibu: Dijemput pada ibu-ibu Terengganu menyertai PERSINT. Boleh search PERSINT dalam Facebook. Pasti ketemu :-)

 

Memulakan Langkah Demi Ilmu

On 15 February, 2012, in Diri, by admin

Sudah 7 tahun rupanya bergraduasi Ijazah Pertama sejak 2005.

Kini 2012, saya sudah berumahtangga. Punyai suami, dua anak. Ada kerja tetap, ada rumah sendiri. Alhamdulillah. Bahagia melewati hari-hari bersama mereka.

Namun terasa kosong dalam diri, seperti ada janji yang belum dilunaskan. Janji pada diri, janji pada ayahanda tercinta.

Saya amat cintakan ilmu. Saya suka belajar. Suka berdiskusi. Namun 7 tahun ini saya ibarat hanyut dengan komitmen baru bekerja dan berkeluarga.

Acapkali bingit telinga dengan sindiran lembut tapi penuh makna dari ayah. Bertanyakan bilakah masanya untuk saya sambung Master..dan seterusnya PhD.

Bukan tidak mahu, namun mencari tempat yang boleh menepati keadaan diri yang sudah jadi emak orang ini.

Tidak mahu jauh-jauh di luar Pahang. KL misalnya. Bukan tidak kuat semangat, sengaja tidak mahu memilih cara susah kerana belajar sambil bekerja sementelah pula berkeluarga banyak cabarannya.

Fikirkan juga soal kos.

Fikirkan juga soal bidang apa mahu dilanjutkan pengajian.

Pernah mohon untuk belajar di Open University (OUM) dalam bidang Syariah, namun sekerat jalan tidak sempat mendaftar.

Sudah hampir putus asa untuk belajar, otak pun sudah rasa berkarat.

Namun dalam hati keinginan itu tak pernah padam. Saya mahu jadi insan berilmu.

Lewat beberapa minggu yang lalu, ada khabar gembira menjengah. UKM membuka kelas pengajian Master di KIPSAS, Kuantan. Khusus untuk bidang pengajian Islam.

Ibarat pucuk dicita, ulam mendatang. Saya katakan pada diri, harus merebut peluang ini. Soal duit, adalah rezekinya nanti..saya memujuk hati.

Suami sentiasa meniup semangat, bantu saya fikirkan tajuk proposal Master. Saya hampir mengalah kerana proposal harus dihantar dalam masa 2-3 hari terdekat, walhal ketika itu saya baru sahaja baik demam. Tajuk pun masih belum ada. Dia hubungi rakan sekelas kami yang kini menyambung PhD di UM. Dan akhirnya saya dicadangkan tajuk oleh Zaidi.

Alhamdulillah, 2 hari saya memecut menyiapkan proposal Master sebanyak 4 muka surat. Ingat-ingat lupa apa itu review literature. Ayat juga sudah lama tidak ditulis dengan begitu ilmiah. Tekanan cuba menjengah. Saat sujud, saya pohon kekuatan pada Allah s.w.t.

Ajaib. Proposal itu siap dan urusan menghantarnya juga mudah dalam masa beberapa jam sahaja. Allah permudahkan.

Saya kini menunggu jawapan daripada pihak UKM. Berdebar juga. Terasa proposal itu cincai-cincai sahaja. Tidak dimurnikan dengan baik.

Entahkan lulus, entahkan tidak.

Namun saya percaya pada rezeki, andai ada peluang saya berkelana di bumi Tuhan ini sebagai pelajar (kembali), insyaallah. Pasti dipermudahkan.

Saya hanya perlu melangkah, meskipun belum pasti tiba ke destinasi. Daripada hanya duduk berpeluk tubuh dan tidak berbuat apa-apa.

Saya pandang anak-anak, “oh, anakku sudah 2″. Saya melihat cermin, terasa diri semakin tua. 30-an sudah usiaku. Namun takah pendidikan masih belum berganjak. Di kumpul semangat, selagi ada hayat, saya tidak pernah tua untuk menuntut ilmu. Insyaallah.

 

Si Omel Kami di Usia 1 Tahun.

On 15 February, 2012, in Permata Hati, by admin

Assalamualaikum w.b.t

Sungguh lama saya tidak mencatat apa-apa di blog ini. Sehari demi sehari ditangguhkan hasrat meskipun banyak idea mahu terlontar di sini. Begitu terasa kewajipan lebih banyak daripada masa yang kita ada.. Sehinggalah pagi tadi, seorang sahabat bertanya di Facebook: “jibah, bila nak update blog?”. Saya tersentak. Saya menyangka sudah tiada yang sudi bertandang ke rumah buruk saya ini, sementelah melihat bilangan pengunjung makin berkurangan, saya tidak menyalahkan mereka, salah saya sendiri, sebab tidak update blog :-) .

Terima kasih Pa’e ingatkan saya. Di petang hari ini, saya mencuri sedikit masa untuk mencatat sesuatu. Di atas meja, bertimbun soalan ujian bagi 4 subjek yang belum siap ditanda, tutorial pelajar yang perlu disemak, perlu kemaskini nota kuliah dan pelbagai tugas. Namun saya hilang fokus. Entah mengapa 2-3 hari ini garis stress agak tinggi, mudah sahaja tewas dengan perasaan. Saya penat barangkali. Atau inikah petandanya bateri saya sudah lemah? Perlu dicas semula. Hakikatnya, masa terlalu menghambat bukan?

Hari ini, 15 Februari 2012. Usia anakanda Nur Afiqah, puteri kedua yang menjadi si omel kami mencecah usia 13 bulan. Sudah sebulan rupanya berlalu usia 1 tahunnya. Sedang saya berkira-kira untuk mencatat sesuatu, tapi masih belum berkesempatan.

Tiada apa yang terucap pada bibir si ibu ini apabila anakanda melewati takah usia hari demi hari dan membesar dengan sihat. Alhamdulillah…

Si omel ketika check-up 1 tahun beratnya 8.1 kg, sudah punya 8 batang gigi, sudah boleh menutur beberapa patah perkataan bermakna: “ayah”, “aaatak (kakak)”, “nak”, “nanak (tak nak)”, “aadak (bedak)”, “aabat (ubat).

Dia ringan mulut, namun masih belum mahu berjalan. :-)

Sudah pandai bergaduh dengan kakak. Selalunya kakak akan mengalah, menangis sambil menutup muka dan mengadu pada ibu: “adik buat kakak..”. Ibu pujuk kembali, “adik main-main je, adik tak buat..”

Melihat anak-anak membesar adalah satu kenangan paling manis dalam hidup.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Si omel kami sudah setahun. Terasa begitu pantas masa berlalu. Masih terbayang-bayang kenangan melahirkannya dulu. Sakitnya masih segar dalam ingatan.

Dan di usia 1 tahun 1 bulan ini, dia masih menyusu dengan susu ibu. Meskipun stok susu hanyalah beberapa botol sahaja yang tinggal, semangat ibu untuk memerah kadangkala hilang ke laut dek kerana sibuk di pejabat dan penat, rezeki buatnya masih ada. Alhamdulillah. Akan tetap diteruskan sehingga titisan susu terakhir. Insyaallah :-)

Sambutan hari lahir kami buat ringkas-ringkas sahaja. Suami buatkan Kek Pelangi, sungguh sedap rasanya. 1 biji untuk kami makan-makan sekeluarga di rumah, dan 1 biji lagi untuk di bawa ke taska.

Semoga terus membesar dengan sihat sayang. Dipayungi Allah dengan iman dan Islam.

Nota Hati Ibu: Entri ringkas, kerana kehilangan kata-kata dek kerana lama tidak menulis. :D