Blog Bersawang!

On 27 January, 2012, in Uncategorized, by admin

Lamanya tak tulis blog.

Maaf ya andai ada yang berkunjung.

Saya sibuk buat kek dan coklat. :-)

Masa yang ada terasa begitu sikit, badan pula sangat penat.

Nak mencatat sesuatu sempena Ulangtahun pertama anakanda Nur Afiqah.

Nak menulis tentang perkembangan si kakak Nur Aqilah yang semakin petah bercakap dan menggeramkan!

Masa oh masa.

Hari ini akan ke klinik, check-up adik 1 tahun. Juga bawa si kakak sama yang sudah 4 hari demam.

Ibu ini sudah 4 malam tidur-tidur ayam. Hati juga resah kerana anakanda masih belum mahu kebah demamnya.

Moga tiada apa-apa yang tidak baik pada kesihatan anakanda.

 

Assalamualaikum w.b.t

Salam pagi Jumaat yang mulia. Pagi tadi dalam perjalanan ke pejabat, terdengar tazkirah Ustaz Dr. Zahazan dalam IKIM. Kata Ustaz, ” Makin tawadhu’ kita, makin tinggi Allah angkat darjat pada pandangan manusia. Makin riak, bongkak dan takbur kita, makin rendah Allah jadikan darjat kita pada pandangan manusia, dan juga pandanganNYA.”. Jom kita sama-sama rendahkan hati (bukan rendah diri), merasakan diri hanyalah sebagai hamba. Insyaallah, dengan berbuat demikian, banyak penyakit hati dapat diubati.

Malam tadi tidur saya tidak begitu berkualiti. Menyiapkan cupcake Tiramisu untuk jualan di kolej pagi ini, sempena minggu keusahawan pelajar. Sampai jam 1.30 pagi. Baru sahaja nak merebahkan badan, si kakak merengek dan mahu berpeluk dengan ibu. Dia demam. Mendakapnya, kemudian si adik merengek pula. Mahukan susu. Tangan sebelah menepuk si kakak. Entah jam berapa saya tertidur dan asyik terjaga. Jadi ibu memang begitu kan? :-)

Dalam lalok dan mamai datang kerja hari ini, saya seronok memulakan pagi Jumaat saya dengan berkomunikasi ceria dengan anak-anak dalam kereta. Suami fokus pada pemanduan, meredah kegelapan subuh, hujan yang turun mencurah-curah sejak semalam membuatkan suasana bagai malam dan jalanraya licin. Saya di belakang melayan anak-anak. Termotivasi menonton sedutan rancangan TV Al-Hijrah di youtube semalam, di mana Wardina Safiyya berkongsi tips berguna dalam mendidik anak-anak. Antara yang saya ingat ialah manfaatkan masa dalam kereta untuk berkomunikasi dengan anak.

Kakak meskipun demam, ceria membilang lampu jalan bersama saya. Sekejap di bilang “satu dua tiga..” sampai sepuluh. Sekejap di sebut “one two three..” dan tiba-tiba sudah “eight” atau pun “ten”. :-) . Dia minta saya menasyidkan “alif ba ta”, dan bila saya minta dia menyambung, dia boleh menyambungnya meskipun tidak jelas sebutan. Alhamdulillah. Tidak sia-sia memasang nasyid alif ba ta di youtube untuk mereka berdua tonton. Si adik bertepuk-tepuk tangan, seronok barangkali dengan nasyid sebegitu. Mulutnya cuba mengikut sama, namun yang keluar hanyalah “ebbb..emmm..”". :D . Tak mengapa, adik masih kecil.

Si omel yang comel itu bakal menginjak usia 1 tahun 2 hari lagi. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Kerana sepanjang tempoh dia membesar, kami tidak diuji dengan ujian yang berat. Hanya demam, batuk, selsema. Kebiasaan bagi bayi seusianya.

Dia sudah boleh berdiri dan meniti di sofa dan meja.

Sudah boleh merangkak setelah duduk terlebih dahulu.

Pandai memanjat tangga dengan gaya mengiring. Sungguh unik.

Dia panggil saya ‘mama’. Ayah jelas dipanggilnya.

Suka sekali membuat aksi ‘jangan’ dengan menyebut “no no no”.

Gigi sudah 8 saya kira.

Kuat makan. Jika lapar dia akan mula mengigit apa dan siapa sahaja :-) .

Saya suka bila lihat anakanda berdua itu tidur. Kepala si kakak kadang-kadang atas perut si adik. Kaki si adik atas peha si kakak.

Alhamdulillah atas segala nikmat. Melihat anak-anak membesar adalah nikmat dan anugerah. Meskipun sepanjang perjalanan itu, lelah, penat, letih, tiada masa untuk diri sendiri dan sebagainya menghiasi diari kehidupan seorang ibu. Namun saya puas.

Dan, menjelang ulangtahun pertama Nur Afiqah, satu nikmat yang berterusan saya mengucap syukur, ialah kerana dia masih menyusu dengan susu ibu. Syukur ya Allah kerana memanjangkan nikmat ini buat kami berdua.

Stok susu hanya ada 15 botol x 3 oz. Hasil perahan saya setiap hari cukup-cukup untuk bekalan keesokan harinya iaitu 9 0z. Saya tidak gusar, entah mengapa ya, anak kedua ini saya lebih relaks dan tidak mahu sedih-sedih meskipun ada jatuh bangunnya dalam penyusuan ini. Saya memegang satu perkara sahaja iaitu ” usaha sedaya mampu dan yakin bahawa selagi ada rezeki, selagi itulah afiqah akan menyusu..”

Ramai yang tanya saya apakah yang membuatkan saya kuat untuk terus menyusukan anak. Saya tiada resepi rahsia, saya hanya ingin memanfaatkan peluang yang Allah bagi ini dengan sebaik mungkin. Itu sahaja. Ada harinya saya kuat, rajin memerah, rajin kemaskini stok, rajin basuh botol susu dan peralatan mengepam, namun ada harinya saya malas untuk buat semua itu. Kadangkala ada juga rasa penat. Sementelah waktu pengajaran saya bagi semester ini agak padat. Terkejar-kejar memerah sebelum  masuk kelas, waktu senggang antara kelas memerah lagi. Namun saya tidak mahu merasai ‘pahitnya’ bercerai susu sepertimana ketika Aqilah 10 bulan dulu. Ia sangat pahit dan membuatkan airmata saya bergenang mengingatkannya.

Saya gagahkan juga untuk menggalas beg pam dan cooler beg setiap hari ke pejabat. Beg tangan sudah lama terperap dalam almari.

Memerah di pejabat, kadangkala 2 kali, kalau sempat 3 kali. Dan bersyukur setiap kali selepas sesi. Berapa oz yang dapat, itu sahajalah rezeki buat anak. Alhamdulillah. Kalau susu merudum, saya muhasahabah diri, mencari punca mengapa berlaku. Dan kemudian mengambil langkah sewajarnya untuk kembali ke pangkal jalan. :-)

Penyusuan ibu ini jauh perjalanannya.

Ada ibu yang berjaya sampai ke hujung jalan.

Ada yang terhenti di pertengahan.

Kerana situasi kita berbeza.

Ada yang kuat semangat kerana insan sekeliling menyokongnya.

Ada yang putus asa kerana suami sendiri tidak memberi sokongan.

Tugas kita hanyalah mempromosikan kebaikan penyusuan ibu dan membantu ibu yang memerlukan. Bukan menghentan ibu-ibu yang tidak berjaya dalam penyusuan. Siapa tahu masalah mereka bukan?

Saya tidak menyalahkan andai ada ibu yang mengatakan susah untuk bangun malam misalnya, untuk memerah susu, sebab hormon prolaktin tinggi ketika itu. Sebab saya pun begitu. Saya tiada bibik, beranak dua yang masih kecil, bekerja, buat bisnes coklat dan cupcake yang menuntut komitmen yang tinggi, malam saya hanya tinggal sisa-sisa tenaga. Sudah tidak mampu bangun untuk memerah. Bukan kerana malas, namun kerana saya perlu tidur yang berkualiti agar tetap segar untuk terus berbakti pada mereka yang dikasihi keesokan harinya.

Di usia si omel Afiqah mencecah 1 tahun ini, saya bersyukur atas nikmat ini. Saya merasa kuat kerana kekuatan yang dipinjamkan Allah kepada saya. Juga atas sokongan suami tercinta, dia rajin buat spot check stok susu dalam peti. :-) . Jika susu sudah tinggal beberapa botol, dia tanya saya mengapa. Lewat bebelannya bila saya malas mengepam, prihatinnya pada berapa oz hasil perahan harian, saya merasa ada seseorang di sisi. Dia juga si ayah yang rajin melayan anak-anak, mengemas rumah dan bakatnya dalam menghias rumah lagi hebat dari isterinya ini.

Alhamdulillah, alhamdulillah..

Semoga perjalanan setahun akan datang dalam penyusuan (dan mungkin lebih) terus dipermudahkan Allah. Menyusukan anak adalah momen indah dalam hidup.

 

Khas Buat Ibu Menyusu Sekitar Kuantan

On 7 January, 2012, in Penyusuan Ibu, by admin

Klik pada gambar untuk imej yang lebih besar dan jelas :-)

 

Jemput hadir ye semua. Kita jumpa di sana, insyaallah..:-)

Nota Hati Ibu: Plan bawa suami dan anak-anak sekali. Ber SGM dan merehatkan minda di tepi pantai. Terapi!

 

Hadiah Buat Kanda

On 6 January, 2012, in Keluarga, by admin

2 Januari 2012. Sekali lagi tarikh ‘kelahiran’ suami tiba. Dia sungguh beruntung (baca: memeningkan :D ) kerana punya 2 tarikh lahir. Tarikh lahir sebenar 19 Disember, tapi yang tercatat pada IC ialah 2 Januari. :-)

Saya sungguh tidak kreatif untuk buat sesuatu yang istimewa pada suami. Buntu memikirkan hadiah apa yang mahu diberi, selain doa yang sentiasa ada setiap kali usai solat dan pada denyutan nadi, agar dia sentiasa dalam perlindungan Allah swt.

Dia ‘masterchef’ bab biskut, kuih raya, kek dan cupcake saya :D

Dia banyak mendorong dan meyakinkan saya bahawa saya juga boleh buat kek. Bila saya kata: “ayang memang tak ada bakat buat kek, tangan keras. Masak nasi minyak lagi senang”, dia lantas berkata: “boleh je, bukan apa pun, malas cuba sebenarnya..”. Pedas. :-)

Tempohari saya beranikan diri ambil tempahan kek coklat untuk hantaran pertunangan cikgu taska anak-anak. Itu pun setelah cikgu fiza bersungguh-sungguh memujuk.

Tempohari juga saya gigih belajar cupcake di Kelas Masakan Linn. Terasa ingin pergi lagi untuk belajar Western Food pula. :-)

Sekelumit pengalaman itu memberi saya ilmu baru dan kemahiran yang menarik untuk diterokai.

Cuti tahun baru, saya beroperasi di dapur. Seperti biasa, sekejap-sekejap operasi itu terhenti kerana si omel Afiqah merengek. Si kakak berakhlak mulia, datang ke dapur dan berkata: “cheaaaa…ibu buat kek!!!”. Gaya memuji yang nakal, itu ayahnya yang ajar :D

Alhamdulillah, hasilnya boleh tahan buat pertama kali. Orang yang baru belajar buat kek. Kata suami, sedap dan boleh buat bisnes. Alhamdulillah. Bisnes itu nombor 2. Yang penting mengikat perut suami dengan juadah hasil air tangan sendiri. Itu lebih berkat.

Alhamdulillah!

 

Review: Breastpump Unimom Allegro

On 6 January, 2012, in Penyusuan Ibu, by admin

Sumber asal imej, sila klik pada gambar.

Assalamualaikum w.b.t

1.40 pagi. Ibu baru selesai mengemas rumah. Mata masih belum mengantuk, setelah tertidur jam 9.30 malam tadi bersama si omel Afiqah. Bangun semula jam 12.00 tadi untuk solat Isyak dan housekeeping :D

Sudah hampir 3 minggu saya menggunakan pam Unimom Allegro. Saya beli secara online daripada Puan Ruziah Amin, dengan harga RM340 untuk double-pump. Sedikit review saya tentangnya:

Kelebihan:

1. Boleh upgrade ke Double Pump (macam Spectra 3)

2. Parts yang sedikit dan mudah untuk dipasang.

3. Motor ringan, saya rasa lagi ringan dari Medela Swing saya dulu.

4. Boleh adjust volume (digital) untuk keselesaan ketika mengepam.

5. Suction OK dan tidak menyakitkan, tapi saya tetap suka suction Swing sebab dia ada 2 phase stimulation.

6. Harga afford to buy.. :-)

7. Boleh guna kedua-dua iaitu adapter (elektrik) dan bateri. (Macam Swing juga)

8. Boleh fit dengan botol Safety Plus, Bumblee Bee, Autumnz dan yang seangkatan saiz dengannya.

9. Bunyi sedikit kuat berbanding Swing tapi masih sopan dan tidak sekuat Spectra 3.

10. Double-pump: sungguh menjimatkan masa mengepam saya iaitu hanya 10-15 minit sahaja 1 sesi.

Kekurangan:

1. Bukan untuk heavy-duty. Disarankan penggunaan 2-3 kali sahaja sehari. Saya pam hanya 2 kali sahaja di pejabat sebab jadual kuliah dan kerja lain yang padat. Jika di rumah / hujung minggu, saya suka marmet sahaja.

2. Mudah terjadi back-flow (susu masuk dalam tiub) sebab saya perasan membrane nya susah untuk membuatkan susu turun ke dalam botol, bertakung lama dalam valve. Jadi ini mudah menyebabkan backflow. Saya sudah 2-3 kali terjadi backflow :-( . Nasib baik sempat sedar dan susu tidak sempat masuk ke motor.

3. Membrane berwarna jernih, susah untuk nampak dan mudah tercabut ketika basuh. Saya pernah sekali ‘kehilangan’ membrane ini dan jumpa balik dalam sinki. Tak perasan tertanggal sebab warna membrane sama dengan valve.

4. Ada dibekalkan filter untuk elak backflow, tapi bila guna filter, rasa suction very slow.

5. Menurut maklumat yang diberikan oleh kawan saya (Puan Huda Akmal) yang dulu pernah jual Unimom Allegro, komen customer kata ianya mudah rosak.

Jadi pendapat keseluruhan saya, Unimom Allegro menepati ciri-ciri ‘memudahkan’ ibu untuk mengepam seperti yang terdapat pada Medela Swing (lagi), Freestyle etc. Tapi perlu berhati-hati guna supaya sebab mudah terjadi backflow dan jangan guna lasak sangat.

Sekian, terima kasih :-)

** Adinda Noraini Ahmad: Mahu tambah apa-apa review? :D

Nota Hati Ibu: Rindu pada Medela Swing yang banyak berjasa :-(

 

Selamat Tahun Baru 2012

On 2 January, 2012, in Uncategorized, by admin

Hujan di luar renyai-renyai. Jam sudah menunjukkan 12.17 am, 2 Jan 2012. Mata masih belum mahu lelap. Baru sahaja selesai kukus kek coklat untuk makan-makan sempena harilahir suami (mengikut IC) pada 2 Jan. Suami ada 2 tarikh lahir. 19 Disember 1981 adalah tarikh sebenar, 2 Januari 1982 adalah tarikh tercatat dalam IC. :D

Tahun lepas, di saat-saat begini saya tidak ambil pusing tentang sambutan tahun baru. Hanya menghitung hari untuk melahirkan anakanda ke-2, Nur Afiqah. Saya kenang-kenang memori itu, ketika sedang menunggu hari, saya gigih membasuh rumah baru bersama suami. Memindahkan barang sedikit demi sedikit. Alhamdulillah, rumah itu sudah hampir sempurna di tatarias oleh kami berdua. :-)

2011 yang ditinggalkan..saya hanya mahu ingat yang manis-manis sahaja.

2011 melahirkan puteri ke-2. Lahirnya menambah amanah di pundak.

2011 berpindah ke rumah baru, syurga cinta sebelum syurga akhirat insyaallah..

2011 bisnes kami berkembang daripada homemade coklat, kek dan cupcake. Insyaallah akan terus mengorak langkah.

Dalam manis-manis itu, ada juga terselit duka dan sukar.

2011 kewangan keluarga kami tidak begitu kukuh. Banyak komitmen mendatang yang kadangkala menguji keteguhan hati.

Namun pesan saya selalu pada diri dan suami, biarlah sehebat mana ujian material ini, usah kita mengalah. Yang penting kita masih bahagia dan ingin terus bahagia.

2011 yang pergi menyaksikan umur berkurang lagi. Entah bila akan sampai titik noktahnya nanti. Berita kematian yang singgah di telinga mencengkam ruang paling jauh dalam hati: “aku ini amalannya entah bagaimana…bersediakah untuk menempuh saat itu nanti?”.

2012 yang datang, saya tidak punya azam yang bombastic.

Hanya azam hari-hari, mahu terus memperbaiki diri. Mahu sucikan hati. Mahu hampir kepada Allahu rabbi.

Moga kuat untuk istiqamah solat di awal waktu, melazimi ma’thurat dan al-quran setiap hari. Dhuha sebagai penenang diri dalam meneroka misteri rezeki.

Mahu terus jadi isteri yang berbakti, suri paling istimewa di hatinya..suami yang sangat dicintai. Meskipun ujian rumahtangga bersilih ganti, ada hari senyum, ada hari muram menjeruk perasaan. Pasangan berumahtangga, belajarlah untuk menulis kesilapan pasangan pada pepasir, agar bila angin bayu menghembus, perasaan kecewa itu pergi begitu saja. Tidak mahu dikenang-kenang. Namun, kebaikannya ukirlah pada batu, agar ia tetap kekal di situ. Untuk kita ingat dan kenang, dia terbaik untuk kita. Bersyukur!

Mahu terus jadi ibu yang ada segala-galanya di mata anak-anak. Sentiasa ada di situ untuk mereka. Kerana mereka hari-hari jadi terapi percuma buat ibu. Syukur atas nikmat ini Ya Allah!

Mahu terus jadi anak dan menantu yang berbakti pada kedua keluarga, saya dan suami.

Dan, impian yang masih belum terlaksana..menyambung pengajian MA dan PHD. Najibah, tewaskan malas!

Semoga yang baik-baik sahaja buat kita semua untuk tahun baru ini. :-)

 

 

Ibu Belajar Cupcake!

On 29 December, 2011, in Diri, by admin

Assalamualaikum w.b.t

Hujung tahun yang sibuk. Semester baru sudah 2 minggu bermula. Kelas banyak di tingkat 3. Si ibu ini letih membawa badan yang masih belum mahu kurus mendaki anak tangga, tangan kiri mengelek fail, bahu kanan menggalas beg laptop. :D .

Mencuri masa yang begitu menghambat untuk mencatat sedikit entri di blog.

Cuti umum sempena Krismas Isnin lepas, si ibu beranak dua ini gigih memandu sendiri (sudah lama tidak memandu sendiri :D ), menghadiri kelas aneka cupcake di Jalan Dato’ Wong Ah Jang, Kuantan. Kelas anjuran Kelas Masakan Linn (boleh search group ini di Facebook) dengan bayaran RM150, 9.00 pagi – 5.30 petang.

Suami pendorong utama. Dia paksa saya daftar kelas, dia bayarkan yuran, dan dia sanggup jaga Double A di rumah! Ini kali pertama Double A ditinggalkan bersama suami. Saya susah hati, bagaimana ya jika si omel Afiqah yang suka memerap dengan ibu itu merengek minta susu? Bagaimana ya jika si omel itu mahu tidur? Tambah lagi si kakak yang ragamnya juga boleh tahan sekarang. Namun saya harus ada rasa percaya pada suami.

Saya belajar, kebanyakan suami bukan tidak mampu mengurus anak, tetapi kadangkala isteri yang tidak meletakkan kepercayaan kepada suami. :-)

Pagi-pagi lagi kemas rumah, basuh kain, masakkan sarapan merangkap makan tengahari untuk mereka yang di rumah. Moga baik-baik sahaja.

Di kelas, saya awal-awalnya cuak. Saya anggap semua orang pandai buat cupcake. Kata suami, kalau pandai, tak payah datang kelas. :P

Tugasan berkumpulan :-)

Dalam tekun belajar 5 jenis cupcake dan dekorasi, sambil tangan ligat mencatat setiap tips dan nota penting, hati teringat pada mereka di rumah.

Sekejap sekejap suami SMS, “Afiqah tak nangis pun, tak nak susu pun..”. Saya tergelak kecil. Tentu suami kebingungan. Saya pun begitu. Begitu baik anak-anak bersama ayah mereka. :-) . Alhamdulillah. Memudahkan tugas ayah.

Gigihnya saya mendeko cupcake..:D

Antara hasil air tangan kami berkumpulan. Adunan kek di buat bersama-sama, dekorasi ikut kreativiti masing-masing.

Alhamdulillah, kelas sehari berakhir dengan baik. Saya seronok kerana kerjasama antara kumpulan (Kak Dila, Nana dan Zaimah, juga saya!) sangat baik. Semuanya sporting. Dan yang paling penting, Cikgu Linn sangat komited dan saya rasa dia ikhlas mengajar. Bukan semata-mata mahu untung.

Balik rumah dengan 16 biji cupcake air tangan sendiri, rasa begitu bangga. Tidak sangka tangan saya yang ‘keras’ ini mampu melakukannya. Alhamdulillah. Terima kasih kepada cinta dunia dan akhirat saya, suami yang sentiasa menyakinkan saya bahawa saya punya bakat dan boleh melakukannya.

Si kakak memuji-muji kek saya..katanya cantik, dan sekejap-sekejap dia buka peti ambil cupcake.

Suami bagi laporan, anak-anak sungguh baik. Tidak meragam, tidur tengahari walaupun sekejap, makan banyak dan bermain dengan harmoni dua beradik itu. Pandai ye anak-anak ‘behave’ bila dengan ayah..:-).

What’s next??…Insyaallah, ada sedikit keyakinan untuk memulakan projek baru DreamChoc. Doakan. :-)

 

Berkongsi? Oh Tidak!

On 23 December, 2011, in Uncategorized, by admin

Assalamualaikum w.bt

Salam petang Jumaat yang penuh barakah. Semester baru sudah bermula minggu ini. Jadual pengajaran saya agak pada, bertambah bilangan subjek yang perlu diajar dan pelbagai komitmen lain. Waktu kerja baru 8.30 – 5.30 seolah tidak cukup masa untuk menyelesaikan semua tugasan di pejabat. Dunia akhir zaman, iaitu antara tanda-tanda kiamat, masa terlalu cepat berlari. Baru sahaja rasanya hari Isnin, tup tup sudah sampai Jumaat. Begitulah masa berputar.

Mahu bercerita, namun jarang sekali punya masa. Sedikit ruang masa yang ada sebelum habis waktu kerja, ingin menulis tentang anak-anak.

Disember ini, si kakak menginjak usia 2 tahun 5 bulan. Si adik 11 bulan. Punyai 2 anak perempuan yang jarak usia mereka agak rapat, saya begitu ingin mendidik mereka akan erti perkongsian.

Bermula dengan mendidik si kakak agar berkongsi apa sahaja dengan adik.

Dia minta biskut, saya berikan 2. Minta satu diberikan kepada adik.

Dia bermain apa-apa sahaja, saya minta dia kongsi permainan dengan adik.

” kakak kongsi-kongsi dengan adik ye..” Pesan saya.

Dia terdiam sejenak, dan menutur semula pesan saya: ” adik…..jom oshi-oshi (kongsi-kongsi)…”.

Namun, dalam banyak keadaan, dia enggan berkongsi. Sangat marah bila adik mengambil permainannya. Boleh jadi mengamuk dan menangis tak tentu pasal jika terpaksa berkongsi apa-apa dengan adik.

Saya susah hati. Sehinggalah ketemu dengan maklumat ini daripada BabyCenter:

“Your preschooler may look like a big kid to you, but she still doesn’t know how to share. Sharing is a skill that evolves through practice and maturity. Two-year-olds still tend to be possessive about their playthings. For now, it’s best to put their favorites away when someone comes to play. Or steer the kids toward activities they can do together, like building with blocks, kicking a ball around, digging in the sandbox, or creating with clay.”

Oh, itu normal rupanya. Di usianya memang begitu rupanya. Sangat sukar untuk berkongsi.

Dia masih belum faham erti perkongsian. Dia tidak tahu bagaimana caranya untuk berkongsi. Dan dia juga tidak faham kenapa harus berkongsi. Dan dalam masa yang sama, dia sangat sayang dengan apa sahaja yang menjadi miliknya.

Patut pun akhir-akhir ini si kakak asyik menjawab bila saya minta dia kongsi apa-apa dengan adik.

Tempohari, saya belikan almari pakaian Upin & Ipin buat anak-anak. Alhamdulillah, ruang bilik anak-anak nampak lebih luas dan kemas. Saya pesan pada kakak, “kongsi almari dengan adik ye..”

Kakak menjawab dengan wajah sedikit masam:

” ape oshi adik…adik ini…” (kenapa kena kongsi dengan adik? almari adik kat sini (tunjuk pada almari lama).

Bila adik pegang beg Angry Birds nya, dia akan menjerit pada adik ” no..no..no..dik” dan terus merampas beg itu.

Oh kakak! Ibu harus lebih peka dan tidak jemu mendidik kakak untuk faham erti perkongsian. Tidak mengapa hari ini anak-anak masih belum faham erti berkongsi barang permainan, asalkan dia tahu bahawa dia dan adiknya berkongsi kasih-sayang yang sama rata, sama aras dalam hati kami, ibu bapa mereka.:-)

 

Selamat Ulangtahun Kelahiran Kekanda!

On 19 December, 2011, in Uncategorized, by admin

Saya suka gambar di atas. Sepasang suami-isteri (harapnyalah, bukan couple yang belum kahwin) berdua-dua di tepi pantai. Hihi, sementelah anak sudah dua, jarang benar ada masa berdua dengan suami. :D

Hari ini ulangtahun kelahiran suami yang ke-29. Saya rancang dalam hati nak ajak suami keluar makan tengahari hari ini, tapi malam tadi dia cakap dia nak puasa hari ini. :D

Saya memang tak kreatif dalam bab buat kejutan pada suami, walaupun saya ini kelihatan sangat jiwang. :P . Tidak seperti suami yang selalu bagi kejutan kepada saya, sampaikan saya menangis terharu. Malam tadi kami sama-sama buat kek coklat – praktis untuk siapkan tempahan kek pertunangan pelanggan hujung minggu ini, dan juga siapkan tempahan coklat oreo dari Johor.

Saya hanya SMS ucapan ini kepada kekasih hati saya itu:

” Ujian dan cabaran silih berganti

Itulah denai sebuah kehidupan berumahtangga

Ada musim bahagia yang tenangnya menyimbah jiwa

Ada musim derita yang berhujankan airmata

Sayangku,

Biarlah kita rasa

Rupanya syurga rumahtangga itulah maharnya

Selamat Ulangtahun Kelahiran buat suamiku yang paling ku cintai dan hormati

Ingin terus di sisimu

Biar apa pun musim kehidupan yang dijalani

Kerana engkau tidak pernah ku bandingkan dengan sesiapa

Dan ku yakini engkau terbaik untukku

Mencintaimu selamanya kerana Allah..”

Nota Hati Ibu: Skill penulisan jiwang dan berbunga bahasa sudah tumpul. Hari ini hari pertama kuliah bermula untuk semester baru.

 

Si Omel Kami, Di Usia 11 Bulan

On 16 December, 2011, in Penyusuan Ibu, Permata Hati, by admin

Assalamualaikum w.b.t

Jam menunjukkan angka 1.08 pagi. Mata masih belum mahu lelap. Jam 8.15 malam tadi saya sudah terlelap ketika menidurkan si omel Afiqah. Bangun semula jam 10. 00 malam, solat Isyak, kemas dapur, ruang tamu, bilik Aqilah, basuh kain, jemur dan lipat mana yang sudah kering.

Alhamdulillah. Rasa sejuk mata dan hati bila rumah tersusun kemas. Saya hanya perlu cabar diri, paksa diri untuk menewaskan rasa penat. Mungkin tidur di awal malam, dan bangun semula seperti ini adalah cara yang bagus. Suami dan anak-anak sudah tidur.

Laptop sudah sihat. Motherboard nya yang rosak, sudah dibaiki. Melayang RM450. Perit juga mengeluarkan duit sebanyak itu di saat-saat begini. Namun, bekerja tanpa laptop, saya mati kutu!

Hanya catatan ringkas sempena tanggal 15 Disember hari ini, si omel kami sudah mencecah usia 11 bulan. Terasa begitu pantasnya masa berlalu.

Saya masih belum sempat kurus, ingatan pada situasi dalam labor room tempohari masih segar dalam ingatan, tup-tup, si omel kami sudah pandai itu ini.

Giginya masih 4 batang.  Bila tersenyum, sungguh comel.

Masih belum merangkak, namun sudah boleh memanjat sofa. Percubaan pertamanya 2 hari lepas untuk memanjat tangga rumah buat saya kecut perut. :-)

Dia ringan mulut kata cikgu-cikgu taska nya.

Mereka panggil Afiqah “Pikachu”. :D

Si omel kami sudah pandai sebut “ayah”, “tatak” (kakak), “bag” (beg-merujuk kepada beg sekolah Angry Birds kakak), “nak”, “nanak” (tak nak).

Dia panggil saya “mama”. :D

Bila dengar muzik, dia akan bergedik kaki, tangan dan menganggukkan kepala sambil tersenyum. Kakak pula terlompat kegembiraan tengok aksi adik.

Dalam kereta, jika mood kedua-duanya baik, mereka akan ‘bernyanyi’ bersama. Sungguh menghiburkan.

Alhamdulillah, Syukur kami hanya pada Allah s.w.t atas anugerah terindah ini. Saban hari, tidak sabar mahu menjemput mereka pulang dari taska.

Dan nikmat yang masih saya syukuri hingga saat ini, kerana Allah s.w.t masih mengizinkan dia menyusu dengan susu ibu sehingga ke angka 11 bulan ini. Dalam keadaan stok susu yang hanya beberapa botol, ianya masih cukup menampung keperluan si omel kami.

Dalam apa jua keadaan, jalanilah hari-hari penyusuan ini dengan tersenyum. Biar apa jua cabarannya.

Pam Medela Swing saya sudah takdirnya rosak. Tidak dapat dibaiki. Rasa kelat juga perasaan, sebab pam itu dibeli dengan harga hampir RM700. Mahal bagi saya. Namun, berlapang dada itu lebih baik. Sampai di situ sahaja jangka hayatnya. Saya sudah beli pam baru. Unimom Allegro (Double Pump). Tidak jadi beli MODU memandangkan review tentangnya amat sedikit. Tidak dapat dibuat kesimpulan pro dan kontra. Semoga pam baru ini membugarkan semangat saya untuk terus rajin mengepam, meskipun beban pengajaran semester baru yang akan bermula minggu depan, boleh tahan. Dengan beberapa komitmen kerja yang lain, saya harus mendisiplinkan diri untuk tidak ponteng waktu mengepam.

Penyusuan susu ibu ini sedikit sebanyak melatih ibu untuk berjiwa tegar kan? :-)

Kelmarin saya ada bengkel pengajaran di UTM Kuala Lumpur.

Saya keluar rumah seawal jam 4.00 pagi ke kolej. Bas kolej bertolak jam 4.50 pagi. Satu perkara yang paling berat untuk saya lakukan adalah meninggalkan anak-anak walaupun hanya untuk sehari. Saya risau banyak perkara, mampu kah suami menguruskan Double A dengan baik? Saya bimbang suami kelam kabut untuk solat, makan dan sebagainya.

Sepanjang sehari bermusafir ke KL, saya menggalas cooler beg berisi ice pack dan botol-botol. Saya marmet sahaja. Alhamdulillah, berjaya juga membawa pulang hasil sebanyak 13 0z. Saya beli ais ketul 50 sen untuk diletakkan dalam cooler bag ketika perjalanan balik, kerana ice pack sudah mula mencair. Sampai di Kuantan semula jam 10.00 malam.

Dalam bas pun saya ber marmet di sebalik tudung labuh. :P . ALhamdulillah. Demi anak, di mana-mana sahaja ibu boleh lakukannya.

Sekian saja entri ringkas (ke?) kali ini. Tanpa gambar, sebab gambar dalam DSLR suami, masih belum transfer masuk laptop.

:-)