Hari ini 25 Februari. Sebentar lagi jam 2.30 petang ada kuliah. Pelajarnya cuma seorang, kerana dia mengulang subjek itu. Entahkan datang atau pun tidak, setelah berminggu-minggu dia hilang dari pandangan.
Dari pagi saya memaksa diri membaca beberapa artikel berkaitan tajuk tesis. Diri, jika tidak dipaksa, bisa larut dengan godaan Facebook dan WhatSapp.
Masa yang berlari, berlalu sia-sia.
Sudah lama tidak menulis di sini. Meskipun ada Facebook, blog masih lagi buah hati pertama saya untuk menulis. Di sini saya boleh menulis panjang-panjang, orang pun jarang baca blog saya, jarang meninggalkan komen. Ia membuatkan saya rasa lebih tenang untuk menulis, tanpa memikirkan apa yang orang kata
Alhamdulillah, kami sekeluarga sihat-sihat saja. Cuma beberapa minggu kebelakangan ini, perasaan saya kosong, sedikit berkecamuk.Macam-macam perkara berselirat dalam kepala.
31 Januari lalu, suami ditauliahkan Sultan dengan jawatannya sekarang ini. Alhamdulillah, ia khabar gembira buat kami. Saya dalam diam berbangga dengannya, namun ia hanya bangga dalam hati seorang isteri, tidak dicanang kepada umum. Dia – insan yang saya kagumi dan hormati sejak kami belum bergelar tunangan lagi. Sejak kami belum ada apa-apa ikatan lagi. Memartabatkan perundangan Syariah – beban yang digalas amat berat, sebelah kaki di Syurga, sebelah kaki di Neraka.
BERPINDAH DAERAH
Khabar gembira itu juga sebenarnya bakal merubah kehidupan sekeluarga kami suatu hari nanti. Khabar sudah bertiup, suami bakal ditukarkan daerah berkhidmat, iaitu di Temerloh.
Ia sesuatu yang mengocak perasaan saya, seorang isteri, meskipun saya sudah menyiapkan diri untuknya sedari bertunang lagi. Dulu, berkali-kali saya berkata pada suami, saya ingin tetap di sisinya, walau apa jua yang berlaku. Perhubungan Jarak Jauh (PJJ) tidak akan pernah jadi plihan saya. Namun, saatnya hampir tiba. Hanya menanti surat hitam putih daripada pejabat SUK untuk arahan perpindahan. Kata suami, sekitar Mac ini.
Kondisi kewangan kami ketika ini, dalam keadaan saya sedang menyambung pengajian, tidak memungkinkan saya untuk berhenti kerja dan mengikut suami ke sana. Kata putus dicapai, saya dan anak-anak tetap di Kuantan, dan suami akan menetap di rumah emak (ibu mertua) di Jengka 11. Dan suami akan pulang ke Kuantan setiap hujung minggu.
Beberapa kali airmata bergenang, malah pernah tumpah memikirkan situasi baru kami nanti. Namun, saya sembunyikan daripada suami resah yang bergumpal dalam hati. Saya tidak mahu dia susah hati, untuk menerima takdir PJJ ini. Saya mahu dia tenang-tenang saja di tempat baru. Menumpukan kepada tugasan baru dan menyesuaikan dirinya dengan jawatan itu.
Sengaja saya berseloroh kepada suami:
” Mak mesti seronok abang duduk sekali. Abang pun seronokkah, mak boleh masakkan bekal ke pejabat sehari-hari..”
Saya cuba menguntum senyum. Airtangan ibu mertua tidak pernah ‘tak sedap’ pada suami, dan saya juga! Bahagia kan berdampingan dengan ibu sendiri, selagi hayat masih ada.
” Macam mana nanti, malam-malam tengok TV je lah abang..” Suami menyuarakan rasa hati. Runsing juga barangkali membayangkan malam-malamnya nanti tanpa riuh suara puteri berdua. Saya tersenyum kelat.
Begitulah, bila suami menyuarakan tentang PJJ, ajak berbincang tentang pekerjaan apakah yang boleh saya lakukan di sana nanti, berniaga misalnya, saya jadi kelu untuk berbicara. Hati tiba-tiba sebak. Airmata mula bergenang dan cepat-cepat ditahan.
Saya tahu, dia juga tidak betah menghadapi situasi ini nanti. Namun, inilah pilihan yang terbaik yang kami ada buat masa ini.
Saya cuba menguatkan diri. Saya menangis sepuas hati bila suami tiada di sisi. Saya mahu jadi wanita yang kuat semangatnya. Apalah sangat PJJ yang masih lagi boleh bertemu seminggu sekali, berbanding mereka yang kehilangan suami kerana perpisahan antara alam dunia dan alam barzakh.
Kisah pemergian Almarhum Tuan Haji Amir yang meninggal di Gunung Tahan minggu lepas benar-benar merenggut tangkai hati. Meninggal di usia yang masih muda – 35 tahun, sihat-sihat saja ketika menyertai ekspedisi itu, sampai masa – mengadu sakit dada, sesak nafas dan terus meninggal dalam senyuman.
Beliau meninggalkan seorang isteri – Kak Hasruzaini (senior saya di UM dulu) yang sedang mengandung anak ke-4, dan 3 orang anak yang masih kecil.
Saya bermuhasabah diri. Ia boleh terjadi pada sesiapa sahaja, tidak kira tua atau muda. Samada saya atau dia yang pergi dulu. Itu semua urusan Allah SWT. Pokoknya, kita harus bersedia.
KECEKALAN SITI HAJAR
” Nabi Ibrahim tinggalkan isteri dan anak di padang pasir gersang, tinggalkan mereka kepada Allah..”
Ringkas sahaja butir bicara daripada suami. Saat saya memuncungkan mulut dan meluahkan kegusaran hati akan PJJ kami nanti.
Saya terkedu. Dia selalu begitu, sering saja butir bicaranya berbekas di hati. Lalu hati di bawa mengenang sirah Siti Hajar dan Nabi Ismail, apabila ditinggalkan di padang pasir yang kering kontang, panas terik dan ketiadaan sumber air.
Bukan kerana tidak sayang.
Bukan kerana tidak cinta.
Kerana itulah perintah ALlah SWT, lalu diturutkan bagi membuktikan sebenar cinta.
Saat Nabi Ismail kehausan, Siti Hajar berlari-lari anak mencari air, kedip-kedip cahaya di hujung sana, disangkakan air, berlarilah si ibu ini dengan harapan, namun hakikatnya hanyalah fatamorgana.
Airmata saya tumpah.Membayangkan situasi mereka ketika itu, mereka tiada apa-apa, mereka hanya ada Allah SWT. Sebaik-baik Penjaga.
” THE OTHER HALF “
Isteri mana yang tidak gusar bila perlu berjauhan dengan suami, usahkan untuk PJJ, setiap kali suami keluar bermusafir berkursus di sana sini, hati saya sering dipagut resah.
Sudah tentu.Ketiadaan ‘the other half’ (sebahagian saya), meninggalkan ruang kosong dalam hati.
Saya kenangkan emosi anak-anak, tanpa ayah mereka yang mengisi aktiviti malam mereka dengan nyanyian, permainan kuda, menonton Running Man bersama si kakak dan sebagainya, sedang saya sibuk dengan kain sebakul, atau mengemas dapur, atau mengadun kek.
Saya runsingkan bila anak sakit demam.
Saya susah hati kalau tiba-tiba ‘sakit’ saya itu datang. Perasaan takut yang sukar dimengertikan meskipun di rumah sendiri. Permainan syaitan yang sudah 18 tahun mengalir dalam aliran darah saya.
Kisah Siti Hajar itu menyuntik semangat halus dari dalam diri.
Perpisahan – kalau pun bukan sebab begini, kita pasti akan berpisah juga dengan mereka yang di kasihi apabila kematian datang menjemput.
Acapkali, terjaga di tengah malam sunyi, dalam suram cahaya lampu, saya merenung wajah suami yang dikasihi.
Entahkan saya, entahkan dia yang pergi dulu dijemput Ilahi.
Ditatap pula wajah anakanda berdua permata hati. Comelnya mereka berdua ini. Harta bernilai yang kami ada kini, anugerah Ilahi.
Masa berbaki sebelum PJJ ini, saya hanya mahu menguatkan diri. Memanfaatkan kehadiran suami di sisi, mahu meniti hari-hari bahagia sahaja. Alhamdulillah, ayah menawarkan kereta WAJA nya untuk saya pinjam sementara waktu. Mahu membeli kereta baru di saat begini, bukanlah pilihan yang baik untuk menambah hutang.
PJJ ini, pasti ada hikmah buat kami.
Saya mahu menguatkan ilmu tawakkal kepada Allah. Kerana DIA sebaik-baik penjaga, lebih baik daripada suami dan dunia seisinya.
Muhasabah mengetuk pintu hati – resah gelisah itu tiba kerana saya jarang bermunajat di sepertiga malam. Perlu kembali melazimi diri dengan amalan penguat jiwa ini.
Saya mahu belajar ilmu sabar.
Saya mahu menajamkan kemahiran mengurus anakanda berdua tanpa suami. Superibu, supermak, supermom…ala-ala Superman.Mungkin perlu hafal nama-nama adik-beradik sepupu-sepapat Ultraman, buat melayan Aqilah
Saya mahu kembali memahirkan diri memandu ke sana sini
Saya mahu terus konsisten dengan misi “Jihad untuk sihat” saya setelah 10-11 kg berjaya disingkir. Sekitar 10kg lagi untuk dibuang.
Saya mahu fokus kepada tesis, mudah-mudahan selepas selesai Sarjana, ada ruang dan peluang yang lebih baik untuk saya.
Kata Prof. Dr. Muhaya, suami-isteri yang berjauhan perlu ambil peluang untuk tambah ilmu. Sungguh benar kata-kata itu. Berjauhan itu bukanlah semata-mata melayan jiwang perasaan, kasih-sayang bukankah diikat oleh Tuhan?
Semoga, ada kebaikan buat kami. Ya Allah, permudahkanlah.